Lahad Datu: Lebih 1,000 penduduk membabitkan sembilan perkampungan di
Kembara Sakti, Felda Sahabat 43, di sini, beransur-ansur pulang ke
rumah masing-masing semalam, selepas pasukan keselamatan negara yakin
keadaan kembali terkawal.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiada
sebab untuk penduduk takut dan tidak mahu kembali ke rumah kerana
pihaknya yakin kawasan itu kini selamat didiami.
“Polis kini meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk dan
perkampungan di Felda Sahabat sejak insiden kemasukan empat pengganas,
Khamis lalu.
“Bilangan anggota kini dipertingkatkan dan mereka (penduduk) tidak perlu bimbang,” katanya.
Katanya, sejak malam kelmarin, tiada kejadian tidak diingini berlaku dan pengganas tiada di kawasan itu.
“Kejadian kemasukan pengganas ke Kembara Sakti terkawal dan kita
(polis) mendapati kes itu diperbesarkan pihak tertentu yang menyebabkan
penduduk ketakutan,” katanya.
Khalid yakin kawasan di Lahad Datu kembali tenang seperti sedia kala.
Sementara itu, Pengurus Felda Sahabat 43 dan Ketua Kampung Kembara
Sakti Ramlan Junit berkata, penduduk mula pulang ke kediaman
masing-masing, jam 2 petang.
“Mereka diminta mendengar arahan diberi dalam mengekalkan keamanan di kawasan itu,” katanya.
Penduduk, Amir Abdul Hamid, 50, berkata, penduduk sebelum ini
enggan pulang ke rumah kerana takut, kini bersemangat dan yakin apabila
orang penting pasukan keselamatan sendiri membuat pengumuman. - HARIAN METRO